Khamis, 21 Jun 2012


Remaja Maut Serangan Israel

BANDARAYA GAZA: Dua remaja Palestin terkorban akibat serangan udara Israel di tengah Gaza semalam, menyebabkan pergerakan Hamas membalas dengan melancarkan roket.

Kematian itu menjadikan angka penduduk Palestin yang maut kepada enam orang akibat serangan rejim Zionis itu sejak kelmarin.

Semuanya berlaku beberapa jam selepas pejuang serang hendap di sempadan Israel dan Mesir.

Israel berkata, tiga serangan udara dalam masa 12 jam tiada kaitan dengan serangan udara terhadap pejuang Palestin di sempadan.

Serangan terbaru yang membunuh dua remaja berusia 17 tahun berlaku sejurus selepas tengah malam berhampiran Deir al-Balah.

Mayat mereka cuma ditemui selepas subuh apabila ambulans dibenarkan ke tempat kejadian, kata anggota pasukan perubatan.

Kakitangan hospital menamakan mangsa sebagai Mohammed Bassem Abu Mealiq dan Yusef al-Talbani.

Saksi berkata, mereka cuba memecahkan tembok sempadan Israel apabila ditembak.

Laporan awal menyatakan, kedua-duanya cedera dalam serangan tetapi mereka kemudian disahkan meninggal dunia.

Jurucakap tentera berkata, ia menyasarkan skuad pejuang yang mengendalikan bahan letupan berhampiran tembok keselamatan di tengah Gaza.

Beberapa jam kemudian, empat roket dilancarkan ke daerah Jof Ashkelon di selatan Israel. Serangan didakwa dilancarkan oleh Briged Ezzedine al-Qassam sebagai reaksi kepada jenayah Israel.

Kelmarin, empat lagi penduduk Palestin terkorban dalam dua serangan Israel di Beit Hanun di utara Gaza yang juga mencederakan tiga lagi, kata pasukan perubatan.

Seorang yang maut dikenal pasti Briged Qassa, sebagai salah seorang pejuangnya, Jihad Abu Shbab, 23. Mangsa kedua, Mohammed al-Zaanin, 25, tidak mempunyai kaitan dengan pasukan itu.

Israel berkata, ia menyasarkan skuad pejuang yang cuba melancarkan roket ke arah Israel.

Terdahulu, satu lagi serangan menyasarkan motosikal di timur Beit Hanun menyebabkan dua aktivis Jihad Islam dalam lingkungan usia 20-an, Mohammed Shabat dan Ismail Odeh maut, kata saksi.

Rejim Zionis berkata, mangsa sebahagian anggota skuad penembak curi yang beroperasi berhampiran tembok keselamatan di utara Gaza. Mereka melepaskan tembakan ke arah petani Israel, Khamis lalu.

Perangkaan dipetik kelmarin oleh tentera menunjukkan sejak awal tahun 2012, pejuang Gaza melancarkan 282 roket ke Israel, 10 daripadanya bulan ini. - AFP

Sumber: Berita Harian, Rabu 20 Jun 2012
Next
Catatan Terbaru
Previous
This is the last post.

0 comments:

Catat Ulasan