Jumaat, 22 Jun 2012


                Keganasan antara kaum yang tercetus sejak lebih seminggu yang lalu menjadi satu mimpi ngeri buat penduduk-penduduk di barat Myanmar terutama etnik Rakhine Buddha dan Rohingya Islam. Ia bermula apabila tiga orang penduduk etnik Rohingya ditahan selepas seorang wanita Buddha yang berusia 27 tahun dirogol dan dibunuh pada 28 Mei lalu. Hukuman mati telah dijatuhkan oleh sebuah mahkamah di Myanmar terhadap suspek tetapi seorang daripada mereka telah membunuh diri dengan menggantung diri ketika dalam tahanan.

                Kematian wanita itu mencetuskan kemarahan penduduk etnik Rakhine. Mereka mencetuskan serangan balas dengan mengheret keluar 10 orang etnik Rohingya daripada sebuah bas dan memukul mereka sehingga mati pada 3 Jun lalu.

                Peristiwa itu telah mencetuskan keganasan etnik dan agama antara penduduk etnik Rakhine dengan etnik Rohingya di barat Myanmar yang sehingga kini menyebabkan lebih 80 orang maut dan berpuluh-puluh lagi cedera. Namun begitu, angka sebenar kematian mungkin lebih tinggi.

                Pertempuran ini turut mengakibatkan beribu-ribu penduduk etnik Rohingya di Rekhine melarikan diri ke Bangladesh tetapi kesemua mereka telah dihantar pulang atau ditahan. Ini kerana negara itu turut menghadapi masalah sumber yang terhad walaupun telah digesa oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) supaya memberikan mereka status pelarian.

                Menurut PBB, kira-kira 800,000 orang Rohingya tinggal di Myanmar dan merupakan penduduk minoriti paling ditindas di dunia.

0 comments:

Catat Ulasan