Sejarah
Penubuhan
Islamic
Representative Council (IRC) atau dalam bahasa
Melayunya, Majlis Syura Muslimin (MSM)[1] adalah
satu kumpulan dakwah di kalangan para pelajar Malaysia yang ditubuhkan di
United Kingdom (UK) pada awal tahun 70-an, bergerak cergas sehingga ke hari
ini.[2]
Ada pendapat
yang mengatakan ianya diasaskan di Brighton, England oleh para pelajar
Malaysia yang dihantar ke sana atas biasiswa Kerajaan Perskutuan.[3] Gerakan IRC amat rahsia sifatnya.
Sistem yang
diamalkan di dalam IRC amat rigid, tetapi berdisiplin
tinggi, mempunyai manhaj tarbiyyah usrah yang tersusun lengkap
dengan sukatan dan peringkatnya,[4] amat
menekankan aspek tarbiyyah di kalangan ahli, dikawal
sepenuhnya oleh naqib dan pimpinannya, bergerak secara yang
amat halus dan teliti dan rata-ratanya dianggotai oleh kalangan intelektual
yang “bijak dari segi pencapaian akademiknya”.[5]
Menurut
seorang pengkaji sosial, IRC pada mulanya dipimpin oleh barisan intelektual dan
pelopor gerakan Islam di Indonesia yang secara kebetulan juga belajar
di UK terutamanya Ir. Imaduddin Abdul Rahim[6] yang
mendapat pendedahan gerakan Islam dari Ikhwanul Muslimin, Mesir
dan Jami’at Islami, Pakistan.[7]
Pada
awal tahun 70-an, Kerajaan Malaysia melaksanakan program memberikan
biasiswa kepada ramai pelajar lepasan MCE/SPM dan HSC/STP untuk melanjutkan
pelajaran ke luar negeri. UK adalah destinasi yang favourite di
kalangan Malaysians.
Di Malaysia sendiri, Institut Teknologi
Kebangsaan – ITK (kini Universiti Teknologi Malaysia – UTM)
menjadi base kepada IRC apabila graduan yang telah belajar
di UK itu (kebanyakannya mengambil jurusan kejuruteraan, sains gunaan
dan berkaitan), pulang sebagai pensyarah dan mengajar di ITK. Hubungan ITK
dengan Institut Teknologi Bandung (ITB) di Indonesia menjadi akrab.
Demikianlah,
semakin tahun semakin ramai pelajar Malaysia dihantar ke luar negara,
semakin meluas fikrah IRC mula tersebar UK, Australia, di Amerika
Syarikat (umpamanya di Terra Houte, Houston yang merupakan
“Kampung Malaysia” di Amerika!) malah di Mesir dan Jordan.
Pimpinan-pimpinan tertinggi al-ikhwan (‘Alami) sering
berkunjung ke UK, USA, Australia, Mesir dan Jordan dan
para pelajar Malaysia didedahkan secara langsung kepada pengalaman
mereka dalam dakwah.[8] Semua
ini adalah pengalaman yang amat baru bagi pelajar kita di luar negeri.
Berbanding dengan rakan-rakan mereka yang menuntut di dalam universiti tempatan
yang hanya mendapat tarbiyyah daripada kalangan ustaz-ustaz
tempatan, peluang berjumpa, berbincang dan bergaul dengan barisan
pimpinan al-Ikhwan dan Jami’at Islami dirasakan
amat luar biasa dan memberikan kekuatan baru kepada para pelajar Malaysia.
IRC
sering menyebut bahawa kini mereka “mempunyai pakar rujuk yang
benar-benar harakiyyah sifatnya” malah adalah yang tidak segan-segan
mengatakan bahawa “mereka telah diterima masuk oleh Ikhwan ke dalam
Tanzim ‘Alami”.[9]
IRC, ABIM
dan PAS di Malaysia
Bagaimanapun
di Malaysia sudah wujud Gerakan Islam bernama ABIM di peringkat persatuan bukan
politik dan PAS sebagai parti politik. Semua pimpinan IRC ketika itu seperti
Prof. Abang Abdullah, Zaid Kamaruddin, Mustafa Abdul Kader, Abdul Jalil Hassan,
Azman Hussin, Ariffin (Said?), Ahmad Tarmidzi, Dzulkifli Muhammad, Saari Sungip
(Abu ‘Urwah), Dr. Abdul Rahim Gouse, Dr. Mohd Hatta Shahrom dan sebagainya amat
memahami bahawa mewujudkan satu Jamaah lagi di Malaysia apabila mereka pulang
adalah tidak syar’iyy dari segi prinsip jamaah Islam malah
bertentangan dengan kaedah gerakan Islam.
Hendak duduk di dalam ABIM, mereka
tidak sebulu dan sehaluan. Untuk melibatkan diri dalam politik, tarbiyyah dan
fikrah mereka menghalang mereka daripada berbuat demikian, lagipun seperti yang
sering mereka hujjahkan ketika itu: “PAS tidak mempunyai
tarbiyyah dan ustaz-ustaz dalam PAS tidak mendapat tarbiyyah harakiyyah
daripada kalangan al-Ikhwan Mesir dan oleh itu, memasuki siasah apatah lagi
PAS, adalah “tidak betul” dan PAS perlu dijauhi”.[10]
Pada
awal 80-an IRC mengambil sikap “tidak menterjemahkan identiti diri” mereka di
dalam masyarakat. Namun usrah-usrah IRC wujud terutama di kampus-kampus
universiti tempatan secara sulit dan rahsia. Ketika itu sudah ramai tenaga IRC
pulang ke tanah air selaku pensyarah terutama di UM, UKM, UPM, ITM dan UTM.
Manakala terdapat juga beberapa orang tenaga ustaz yang mendapat didikan di
Mesir yang memberikan sumbangan tertutup kepada mahasiswa kampus seperti Ustaz
Darus Senawi di UM, Ustaz Zawawi Ali di Kolej Islam Kelang, Ustaz Alias Othman
di UM, Ustaz Kamil Abdul Majid di UM dan sebagainya.[11]
Dalam
perbincangan-perbincangan tertutup di peringkat tertinggi IRC, rupa-rupanya ada
usaha-usaha sulit untuk membenarkan figure-figure IRC tertentu
untuk memasuki medan dakwah secara terbuka terutama PAS.[12] Maka
saudara Mustafa Abdul Kader yang bergerak aktif dalam Pemuda dan PAS
Shah Alam dan Selangor menjadi test case IRC yang
pertama.
Ketika itu, ABIM sudah tidak mendapat tempat dan PAS menjadi tumpuan. Mustafa
Abdul Kader diberi kepercayaan sehingga menduduki EXCO Pemuda PAS Pusat
dan juga EXCO PAS Selangor. Kemudian lebih ramai bekas IRC”[13] memasuki
PAS termasuklah YB Khalid Samad[14] yang
kemudiannnya diikuti oleh lainnya, yang paling menonjol kini ada YB Dr.
Dzulkifli Ahmad (Abu Iman), AJK PAS Pusat.
Sumbangan bekas IRC dalam
PAS memang ada kesannya. Pimpinan PAS terutamanya Ustaz Fadhil Mohd Noor dan
Ustaz Abdul Hadi Awang sangat terbuka dalam kes IRC masuk PAS. Pintu PAS dibuka
seluas-luasnya kepada mereka. Kritikan orang-orang IRC di luar dan dalam
negara diterima baik oleh PAS dalam rangkaian semangat “IRC menegur
kita untuk sama-sama membina PAS” dan kini “keluarga Jamaah
Islam semakin luas”.
Bagaimanapun
pada tahun 1985 sudah kedengaran suara-suara dari kalangan Pemuda PAS bahawa
anggota IRC dalam PAS “bawa fikrah IRC dalam PAS dan secara diam-diam
mengutuk PAS di luar”. Semakin banyak bukti diperolehi untuk
dikemukakan kepada Dewan ‘Ulamak dan Dewan Harian PAS bahawa barangkali masanya
sudah tiba bagi PAS untuk mengkaji sejauh mana peranan bekas IRC dalam PAS.
Pertembungan terbuka mula berlaku. Tetapi di peringkat pimpinan tertinggi
PAS Pusat, masih tiada apa masalah. Malah, Ustaz Abdul
Hadi Awang (kini YB Tuan Guru Dato' Seri) menulis kata pengantar siri
buku Risalah Usrah oleh Abu ‘Urwah (YB Saari Sungip).
Buku
yang dianggap teks utama usrah IRC itu menjadi bahan usrah utama di
dalam kampus-kampus sehinggakan terdengar cerita buku yang sama digunakan juga
oleh para mahasiswa Malaysia di Universiti al-Azhar dan universiti lain di Timur
Tengah![15]
Suatu
ketika dulu, Dr. Daeng Sanusi Daeng Mariok dan Dr. Abdul Aziz Hanafi adalah di
antara pimpinan PAS yang bermati-matian mempertahankan IRC dalam PAS manakala
Ustaz Nakhaie dan Ustaz Harun Taib di antara yang paling kuat menentang fikrah
IRC ketika itu.
Satu perkara yang menarik ialah pimpinan tertinggi PAS masih
memberikan ruang kepada IRC sehinggalah PAS Shah Alam mengemukakan
dokumen-dokumen penting membuktikan penglibatan IRC dalam beberapa strategi PAS
menyebabkan PAS mengambil tindakan tegas memecat Mustafa Abdul Kader dan
kemudiannya Ustaz Alias Othman mengundur diri.
Pada
bulan Mac 1990 satu perkembangan menarik berlaku dalam IRC. IRC yang sudah
tidak mendapat tempat dalam ABIM dan PAS mula mengorak
langkah drastik dengan mengusulkan supaya ahli Jamaah dibenarkan
memasuki UMNO.[16] Usul
itu dengarnya ditolak. IRC kembali seperti biasa tetapi retak dalam IRC sudah
semakin rancak.
Sebenarnya retakan dalam fikrah IRC pertama kalinya
bermula di UK pada akhir tahun tujuh puluhan lagi apabila ada kalangan yang
ingin menubuhkan Suara Islam yang kemudian dijelmakan
sebagai "Parti Negara Islam" apabila kembali ke tanah air,
ada yang ingin masuk ke dalam ABIM dan PAS manakala ada yang ingin kekal secara
rahsia di Malaysia. Sudah mula tidak sepakat sejak dari peringkat itu lagi.
IRC, JIM
dan IKRAM
Pada
tahun 1991 sekali lagi IRC bergolak. Kali ini ada usul di kalangan mereka untuk
menzahirkan IRC di mata masyarakat dengan Pertubuhan Jamaah
Islah Malaysia (JIM).Usul diterima majoriti dan Presiden JIM
pertama adalah Abu ‘Urwah (Saari Sungip)[17] sehingga
tahun 1999 di mana Prof. Madya Dr. Mohd Hatta Shahrom (ketika itu) mengambil
tempat sebagai Presiden.
Pada tahun 1999 juga ramai pimpinan JIM menganggotai
KeAdilan, di antaranya ialah Sahari Bahari (bekas Naib Presiden JIM) yang
menjadi EXCO Pemuda KeAdilan. Hj. Saari Sungip menjadi calon KeAdilan dalam Pilihanraya
29 November 1999 tetapi tewas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, tetapi
kini menjadi ADUN PAS Hulu Kelang.
IRC
sekali lagi bergolak pada tahun 2009 apabila kepimpinannya yang berada dalam
HIS mencadangkan penubuhan IKRAM pada 22 Oktober 2009. Mengikut
kalangan tertentu IKRAM diwujudkan bagi menggabungkan tenaga semua ikhwahnya
yang pernah mendapat pendedahan tarbiyyah IRC di luar negara
tetapi kini terlibat dalam pelbagai jemaah; ada yang dengan
JIM, ada yang dengan ISMA[18] dan
ada yang dengan HALUAN.[19]
Demi
menggabungkan semua kenalanseniors yang masing-masing membawa uslub yang
berbeza, IKRAM dilahirkan.[20] Namun
JIM, HALUAN dan ISMA tetap berasingan. Pada Disember
2011, dalam PPN JIM ke-21, Zaid Kamaruddin mengisytiharkan dalam
Muktamar berkenaan bahawa JIM akan dibubarkan dan diserapkan ke
dalam IKRAM sepenuhnya, yakni tanpa ISMA dan HALUAN.
Sebab
utama pembubaran JIM, penubuhan IKRAM dan seumpamanya hanya diketahui oleh
pimpinan yang duduk di dalam Tanzim IRC secara rahsia. JIM,
IKRAM dan seumpamanya adalah wajihah (front organization)
terbuka dalam masyarakat umum sebagaimana yang dirangkumkan dalam masterplan dan grand
design IRC sejak tahun 70-an lagi.
Bahawa JIM, IKRAM adalah
IRC dan daripada kumpulan yang sama tidak dapat dinafikan lagi kerana dalam
Muktamar JIM yang terakhir baru-baru ini apabila Presiden JIM terakhir ada
menyebutkan bahawa....
"Ramai
pengasas JIM merupakan bekas pelajar di luar negara."
"Kita berhimpun
membina Jamaah di kalangan umat Islam setempat bagi menyempurnakan tanggungjawab
bersama. Kemudian kita bina jamaah yang menyatukan pelajar Islam dari Malaysia,
IRC, Islamic Representative Council pada bulan April 1974."
"Kita kembali
ke Malaysia pada pertengahan 1970-an. Terus menggerakkan usaha
dakwah dan tarbiah terutamanya di kampus-kampus. JIM hanya ditubuhkan
pada 27 Julai 1990......IKRAM ditubuhkan pada 22 Oktober 2009."
Penutup
Demikianlah
secara ringkas peranan yang dimainkan oleh IRC dalam medan dakwah
di Malaysia yang turut mengalami pasang surutnya. IRC sendiri telah
mengalami banyak perpecahan di kalangan ahli dan penyokongnya: dari IRC
kepada Suara Islam di UK dan berlanjutan hingga ke Malaysia,
kemudian menjadi IRC di Malaysia, memasuki ABIM dan PAS dan bersendiri di bawah
JIM.
Mereka tubuhkan pula IKRAM pada tahun 2009 dan pada bulan Disember 2011
ini membubarkan JIM dan berbondong-bondong memasuki IKRAM pula. Esok-esok
nanti entah apa pula……UMNO? Tidak mustahil kerana kertas kerja asas
sudah ada sejak awal 1990 lagi......
Demikianlah
secara ringkas penglibatan IRC dalam medan dakwah
di Malaysia yang sempat kita bentangkan berdasarkan pengalaman
bersama-sama mereka untuk penilaian para pembaca. Kita tidak mengulas
kesannya ke atas PAS dan ABIM di sini kerana memberikan peluang kepada para
pembaca yang budiman membuatnya. Kita bentangkan fakta-fakta
sahaja.
Selamat mengulas dan berikanlah ulasan yang berfakta dengan
penuh adab berdasarkan pengalaman masing-masing....
Wallahu
a’lam bissawab.
Akhukum
fi'Llah,
Kamal Izzuddin Abdullah
[1]Ada pelbagai pendapat tentang bagaimana nama IRC atau MSM ini
mula diperkenalkan. Pendapat yang diterima umum ialah kefahaman bahawa
mewujudkan sebuah gerakan Islam di luar negeri tidak praktikal
kerana medan sebenar adalah di Malaysia. Mereka tidak
boleh tubuhkan gerakan Islam di Malaysia kerana mereka masih belajar dan berada
di luar Malaysia. Akhirnya, solution terbaik adalah
dengan mengadakan sebuah "Syura" yang disepakati. Mereka
tidak mahu bergabung dengan badan-badan sedia ada di luar negara sebab tidak
sealiran fikrah dengan mereka.
[2]Zainah Anwar yang
buat pertama kalinya dalam sejarah IRC, telah berjaya menemubual ramai pimpinan
IRC dan menerbitkan kajian Ijazah Sarjana Politiknya dalam bentuk sebuah buku
kecil tetapi penuh makna berjudul, Kebangkitan Islam di
Kalangan Pelajar, Kuala Lumpur: Pelanduk Publications, 1990.
[3]Zaid Kamarudin dalam Ucapan Dasar perasmian Jemaah Islah Malaysia
(JIM) pada bulan Dismber 2011 telah dengan jelas menyatakan JIM mempunyai
pengalaman selama lebih 30 tahun bermula dari April 1974 di England secara tak
langsung mengaitkan JIM dengan IRC.
[4]Kita harus mengakui
bahawa IRC berjaya menyusun manhaj usrah yang sangat kemas dan
amat pratikal digunakan di peringkat mahasiswa universiti. Inilah yang
menjadikan ia berjaya menarik semakin ramai mahasiswa universiti pada akhir
70-an sehingga pertengahan 80-an. Asas model tarbiyyah yang
digunakan adalah berdasarkan al-Ikhwanul Muslimimun, Mesir.
[5] Ini adalah
ciri-ciri umum yang terdapat dalam sistem IRC. Memang tidak dapat
dinafikan bahawa IRC mampu mengumpul tenaga-tenaga du’at yang
sedemikian, sama ada di dalam mahupun di luar negara. Itulah
kelebihan IRC. Dengan dokumen usrah yang tertib dan mantap, IRC
berjaya menambat hati para pelajar Malaysia di luar negara berbanding
dengan pengaruh ABIM dan PAS. Tenaga-tenaga profesionalnya yang
gigih ditambah dengan sokongan du'at dari Mesir dan Jordan yang berlatarbelakangkan
gerakan al-Ikhwanul Muslimun, ternyata IRC adalah satu force yang
boleh membawa kesan yang agak besar di Malaysia.
[6]Pak Ir. Imaduddin Abdul
Rahim sangat berpengaruh di kalangan pelajar IRCdan hal ini didedahkan sendiri
oleh salah seorang senior bekas IRC, “Ayah Hasan Firdaus” berjudul, Gerakan
Islam – Satu Sejarah dan Pengalaman, Bandar Baru Bangi: Madrasah
Muttaqin, 1989, hal. 4.
[7]Lihat Zainah
Anwar, op. cit.
[8]Umpamanya sila lihat
bahan-bahan Tamrin Pimpinan Winter Gathering IRC pada
tahun 1982-1985 di UK.
[9]Dakwaan ini kuat
kedengaran tetapi dinafikan sekers-kerasnya oleh pimpinan IRC apabila ditemui.
[10]Dakwaan ini amat kuat
kedengaran dari tahun pertengahan tahun 70-an sehingga awal 80-an dan angin
perubahan amat kuat bertiup di kampus-kampus universiti tempatan. Mengikut sdr.
Fauzi (bukan nama sebenar) yang pernah memimpin pelajar pada hujung 70-an
sehingga awal 80-an di sebuah universiti tempatan, ditambah dengan
faktor Anwar memasuki UMNO, hujjah-hujjah IRC bahawa sistem tarbiyyah ABIM semakin
gagal mendapat tempat. Di UM, UKM, UTM, UPM dan ITM, ramai mahasiswa yang
pro-ABIM mula mendekati ustaz dan pensyarah yang pro-IRC. Bagaimanapun terdapat
ramai juga yang mendekati PAS sebagai alternatif kepada ABIM yang dilihat
menghampiri UMNO bahkan sudah ada gelarab untuk ABIM yang berbaik
dengan UMNO ketika itu – ABINO”!
[11]Perkara ini tidak
menjadi rahsia lagi kerana ia kini sudah menjadi makluman umum.
Sebahagian besar daripada mereka bergerak di dalam ABIM seperti Ustaz Zawawi
Ali (kini Dr.) dan Ustaz Darus Senawi. Bagaimanapun pendirian Ustaz Alias
Othman amat berlainan sekali. Beliau hanya pernah dijemput menduduki Lujnah
Tarbiyyah PAS Pusat atas jemputan Ustaz Abdul Hadi Awang tetapi kemudiannya
keluar kerana beberapa masalah yang timbul antara PAS dengan IRC.
PAS mendapati bahawa Ustaz Alias dan kalangan lain dalam PAS hanya sebelah kaki
sahaja manakala sebelah kaki lagi masih kekal dalam IRC.
[12]Keputusan ini adalah
berdasarkan konsep “Harakiyyah Islamiyyah Syumuliyyah” (HIS) IRC di mana IRC
menganggap PAS dan ABIM adalah front organization yang
boleh “IRC ketengahkan kepada masyarakat”. Perkara
ini tercatat dalam dokumen blueprint IRC yang disedarkan dalam Summer dan Winter
Gatherings peringkat pimpinan Nuqaba' mereka yang diadakan secara
tertutup di luar negara. Maklumat-maklumat terperingkat ini mula
dipecahkan oleh kalangan bekas IRC yang kemudian menolak konsep IRC apabila
mula menyelami gerakan ABIM dan PAS apabila kembali ke tanah
air. Nama-nama mereka masih kita rahsiakan di peringkat ini atas
sebab-sebab tertentu.
[13] Sdr. Mustafa
Abdul Kader mengakui bahawa beliau mempunyai ramai kawan dalam IRC tetapi
menafikan bahawa beliau masih duduk dalam tanzim IRC.
Bagaimanpun akhirnya rahsia itu terbongkar juga.
[14]Ketika
di UK sdr. Khalid Samad aktif dalam IRC tetapi kemudian broke
off dan mengasaskan Suara Islam di UK. Khalid
yangrebellious in nature ini memang tidak berubah sejak zaman
pelajarnya, dari "sebelum mengenal Islam" sehingga kini dalam barisan
kepimpinan PAS Pusat. Bacalah temuramah menarik dengan beliau (atas
nama samaran) dalam Zainah Anwar, Kebangkitan Islam di Kalangan Pelajar, Kuala
Lumpur: Pelanduk Publications, 1984.
[15]Perkara ini hampir
tidak dapat dipercayai lebih-lebih lagi memikirkan bahawa sepatutnya para
pelajar jurusan agama di Timur Tengah membaca teks-teks asal dalam bahasa Arab
dan merujuk kepada guru-guru yang dipercayai.
[16]Dengan takdir Allah,
kertas kerja berjudul “Usul Pendekatan Terhadap UMNO” bertarikh
28 Februari 1990 diperolehi dan pecah tembelang IRC kepada PAS. Kini IRC ridak
boleh berdolak dalih lagi malah berasa malu terhadap PAS. Bagaimanapun masih
terdapat ahli IRC yang cuba meyakinkan pimpinan PAS bahawa usul itu
dibawa sesetengah ahli IRC yang ingin berpolitik dan tidak mewakili keseluruhan
fikrah IRC. Kertas kerja ini masih dianggap rahsia oleh IRC/JIM. Dalam
pertemuan pimpinan PAS dengan pimpinan Ikhwan di London pada tahun 1991, perkara
ini telah diutarakan. Menurut wakil Ikhwan, Syaikh Mustafa Masyhur dikatakan
telah menulis surat peribadinya kepada Ustaz Fadhil Mohd Noor dan Syaikh
Mustafa Masyhur mengatakan pandangannya bahawa PAS mesti disokong
oleh IRC di Malaysia dalam pilihanraya dan dakwah.
Malangnya surat yang dikirimkan melalui Prof. Khurshid Ahmad
dari London itu tidak sampai ke tangan PAS. Ia hilang apabila
berakhir ke tangan ABIM! PAS mengetahuinya melalui pertemuan sulit dengan Dr.
Azzam Tamimi (wakil Ikhwan dan HamasUK) semasa berkunjung
di London. Dua orang yang tahu akan perkara ini kini berada di
barisan AJK PAS Pusat.
[17]Ironinya pula
dalam tanzim JIM ini, Ustaz Alias Othman yang terkenal sebagai
pakar rujuk IRC sejak pertengahan 70-an hingga tertubuhnya JIM, tidak menjadi
Presiden JIM , tetapi hanya pernah memegang jawatan Timbalan Presiden JIM.
Perkara ini pernah ditanyakan kepadanya. Jawapannya: “strategi
dalam dakwah, syaikh”.
[18]IRC Mesir yang mendaftarkan diri sebagai NGO atas nama "Ikatan
Muslimin Malaysia (ISMA)." Kini ISMA turut dikembangkan di luar
negara sebagai ISMA Jordan, New Zealand,
Eropah, Jepun, Korea, India.
[19]Merupakan serpihan daripada IRC UK didaftarkan pada tahun
1988 sebagai sebuah NGO atas nama "Petubuhan Himpunan Lepasan
Institusi-Institusi Pengajian Tinggi Malaysia." Mempunyai
perspektif yang sedikit berlainan daripada modus operandi JIM
dan ISMA.
[20]Ada kalangan exIRC yang ditemui menyebut tidak mustahil pada
masa akan datang, IKRAM akan menjadi political front yang baru
dalam perspektif dakwah di Malaysia. Menurut Ghazali (bukan nama
sebenar), penubuhan IKRAM itu sendiri selain daripada percubaan
untuk tujuan wehdah, ia juga berperanan sebagai NGO Islamik alternatif kepada
yang sedia ada dan barangkali akan mengikut langkah Parti PKS Indonesia yang
juga mempunyai persamaan ciri-cirinya dengan IKRAM yang mengambil model al-Ikhwanul
Muslimin. Asas manhaj tarbiyyah harakiyyah yang
dipegang oleh kalangan pengasas seniors IRC adalah model
al-Ikhwan dan sebagaimana berlaku perpecahan dalam fikrah al-Ikhwan sejak
penubuhannhya oleh al-Imam asy-Syahid Hasan al-Banna sehingga kini,
begitulah yang berlaku kepada IRC sejak penubuhannya pada tahun 1974 sehingga
menjadi IKRAM, JIM, HALUAN dan ISMA di Malaysia.
Link asal: http://jalan-yang-satu.blogspot.com/
0 comments:
Catat Ulasan