Kejayaan cemerlang PAS dalam pilihan raya umum ke-12 pada 2008 telah meletakkan PAS sebagai sebuah parti pembangkang utama yang dilihat oleh rakyat berupaya mengambil alih pemerintahan negara. Semenjak 1990, PAS telah melangkah maju daripada sebuah parti pembangkang yang dianggap ‘ekstrem’ menjadi sebuah parti pemerintah yang moderat dalam melaksanakan cita-cita Islamnya bermula di Kelantan semenjak 1990, kemudian ke Terengganu pada 1999 hingga 2004, dan kini PAS mendapat kepercayaan rakyat di Kedah, Perak dan Selangor. Di Parlimen juga, PAS telah bangkit dan menguasai 10 peratus daripada kerusi Parlimen atau 25 peratus daripada keseluruhan kerusi pembangkang. Perkembangan ini meletakkan PAS dalam perhatian peminat politik, pengkaji dan juga penyelidik.
Sebenarnya, kemunculan
PAS dalam sejarah politik tanah air telah bermula semenjak 23 Ogos 1951 apabila
para ulamak yang bersidang di Kuala Lumpur bersetuju menubuhkan sebuah
persatuan yang dinamakan Persatuan Ulamak Se-Malaya. Nama persatuan ini
kemudiannya diubah menjadi Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) pada 24 November
1951, dalam satu persidangan ulamak Malaya di Bagan Tuan Kecil (Butterworth),
Seberang Prai. Itulah sekelumit permulaan sejarah PAS yang diasaskan oleh para
ulamak yang kemudiannya berkembang menjadi sebuah pertubuhan politico-dakwah
yang penting di negara ini. Penglibatan dan sumbangan PAS dala politik negara
bermula sebaik sahaja ia ditubuhkan walaupun ramai pengkaji mengatakan PAS
hanya menyertai politik menjelang pilihan raya 1955.
Kemunculan PAS ini
dikatakan hasil daripada silang pengaruh yang berlaku antara beberapa gerakan
Islam yang lebih awal seperti Ikhwanul Muslimun di Mesir, Masyumi di Indonesia
dan Jamaat Islami di Pakistan. Ketiga-tiga pengaruh ini telah menyerap masuk ke
Tanah Melayu melalui para ulamak yang belajar di Mesir, Mekah, India dan
Indonesia. Ksedaran yang awal ialah para ulamak atau umat Islam memerlukan
sebuah pertubuhan atau badan yang boleh mewakili mereka dalam semua aspek
kehidupan terutama dalam keadaan Tanah Melayu sedang dijajah oleh British
ketika itu. Longgokan ksedaran ini kemudiannya menghasilkan Majlis Tertinggi
Agama Malaya (MATA) pada 1947 diikuti oleh Hizbul Muslimin pada 1948 kesan
daripada usaha gigih Dr Burhanuddin al-Helmy dan Ustaz Abu Bakar al-Baqir.
Walau bagaimanapun, gerakan Islam yang berpusat di Gunung Semanggol ini
terkubur ekoran penguatkuasaan Ordinan Darurat pada Jun 1948.
Para ulamak mengambil
beberapa sikap selepas tragedi darurat ini. Ada yang ’tawakuf’ daripada politik
kepartian tetapi menggerakkan kesedaran rakyat melalui institusi pendidikan
atau media massa. Dalam fraksi yang lain, para ulamak telah mengambil sikap
untuk menyertai parti nasionalis Umno bagi membolehkan isu-isu umat Islam
diperkatakan. Beberapa tokoh Hizbul Muslimin seperti Tuan Haji Ahmad Fuad
Hassan, seorang lepasan Maahad Il Ihya Assyariff, Gunung Semanggol telah
menyertai Umno pada 1950 dan dilantik mengetuai Bahagian Agama dan Pelajaran
Umno. Bahagian ini kemudiannya mengaturkan beberapa persidangan untuk
membolehkan ulamak menubuhkankan persatuan. Dalam tulisannya, ”Ulamak Malaya
Belum Bersatu dan Belum Punya Persatuan”, Haji Ahmad Fuad menyifatkan kedudukan
ulamak ketika itu umpama sampah yang tidak dihargai kerana tiada kekuatan.
Lebih-lebih lagi ketika itu ulamak telah muak dengan sikap Umno yang
mengabaikan isu pemurtadan Natrah, pengajuran judi loteri, fun fair, kaberat
dan lain-lain. Dalam satu persidangan ulamak yang dipimpin oleh Sheikh Abdullah
Fahim, Mufti Pulau Pinang di Seberang Perai pada 1951, mereka telah
mengeluarkan fatwa mengharamkan judi loteri anjuran Umno.
Dalam konflik pelbagai
yang dihadapi oleh para ulamak dan situasi politik semasa yang masih tidak
menuju kepada jalan Allah itu, maka para ulamak membuat pendirian untuk
menubuhkan PAS. Haji Ahmad Badawi, seorang ulamak di Seberang Perai telah
mengeluarkan satu manifesto yang dinamakan ’Manifesto al-Badawi’ dengan tema
”Ulamak ke Jalan Allah” bagi menyambut persidangan untuk menubuhkan PAS pada 24
November 1951. Mereka memutuskan supaya PAS menjadi sebuah pertubuhan politik
Islam yang memperjuangkan kemerdekaan melalui landasan demokrasi ke arah
membentuk sebuah negara yang diredhai Alah. Para ulamak menolak bentukbentuk
perjuangan yang diasaskan berdasarkan ideologi ciptaan manusia yang dibawa
masuk oleh penjajah.
Semenjak itulah, PAS
muncul sebagai sebuah pertubuhan politik Islam yang memperjuangkan kemerdekaan
negara, kemudian menyertai pilihan raya demi pilihan raya. PAS juga menggunakan
pelbagai saluran untuk menyampaikan mesej dakwahnya termasuk membentuk beberapa
kerjasama politik dengan orang bukan Islam semenjak 1953. Di bawah kepemimpin
Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan dan Dr Haji Abbas Alias, PAS bercakap soal
kemerdekaan yang boleh ditegakkan hukum Islam. PAS menolak kerakyatan jus soli
yang merugikan peribumi dan PAS mendesak supaya Islam dijadikan dasar negara
yang merdeka. Apabila Dr Burhanuddin al-Helmy mengambil alih kepemimpinan PAS
pada akhir 1956, PAS mula memperincikan sikapnya terhadap kemerdekaan yang
hendak dicapai yang dianggap ’masih kosong’ dari
matlamat sebenar kerana mengabaikan kebangsaan Melayu dan ketuanan Islam1. Hal ini tergambar daripada hasrat Dr Burhanuddin,
”Dalam perjuangan kita (PAS)
bagi mencapai kemerdekaan, kita telah dan terusmenerus memperjuangkan Melayu
itu sebagai kebangsaan bagi negara Tanah Melayu ini dengan bertapak di atas
asas ideologi Islam yang maha suci”2.
Penyertaan PAS dalam
pilihan raya 1959 telah memberikan kejayaan besar apabila Terengganu dan
Kelantan berjaya dikuasai. PAS membentuk kerajaan yang dipimpin oleh Mohd Daud
Abdul Samad di Terengganu dan Ustaz Ishak Lotfi Omar di Kelantan sebagai
Menteri Besar. PAS memulakan langkah sebagai kerajaan di dua negeri Pantai
Timur untuk menterjemahkan ideologi perjuangannya yang berasaskan al-Quran dan
Sunnah. Namun begitu, kerajaan PAS di Terengganu telah dijatuhkan pada Oktober
1961 hasil permainan politik kotor Perikatan. Di Kelantan, PAS berjaya bertahan
sehingga BN mendaruratkan Kelantan pada akhir 1977. Dalam konteks ini, PAS-lah
satu-satunya pembangkang yang diberikan kepercayaan oleh rakyat untuk
memerintah kerajaan negeri di negara ini.
Selepas kejatuhan
Terengganu pada hujung 1961, PAS mulai menerima tekanan-tekanan politik seperti
penyalahgunaan ISA, penahanan Dr Burhanuddin al-Helmy diikuti oleh sekatan
politik, keganasan Pemuda Tahan Lasak Umno dan beberapa siri pembunuhan
politik. Perjuangan PAS untuk memartabatkan kebangsaan Melayu Raya berasaskan
Islam telah dijadikan kambing hitam dalam Konfrantasi Indonesia pada 1963. PAS
menolak pembentukan Malaysia kerana mahukan sebuah negara Melayu yang lebih
besar meliputi seluruh alam Melayu dibentuk. Dalam masa yang sama Umno
mencanangkan isu-isu perkauman yang akhirnya membawa kepada beberapa siri
perbalahan kaum di Pulau Pinang, Perak dan Singapura antara 1964 hingga 1969,
dan kemuncaknnya tercetus Tragedi 13 Mei 1969 yang mengubah landskap politik
negara. Selepas tragedi ini, Datuk Mohd Asri Muda yang memangku jawatan Yang
Dipertua Agung PAS semenjak 1965 telah dilantik sebagai Yang Dipertua Agung PAS
pada 1971.
PAS memasuki era baru
dalam politik negara apabila PAS mula meneroka kerjasama dengan Umno bagi
menjamin kestabilan politik negara, mengekalkan ketuanan Melayu dan menyerapkan
Islam dalam pemerintahan. PAS menyertai beberapa parti lain telah membentuk
Kerajaan Campuran PAS-Perikatan pada 1973, kemudian sama-sama mengasaskan
Barisan Nasional (BN) pada 1974. BN mencapai kejayaan besar dalam pilihan raya
1974 dan PAS sendiri telah berjaya menembusi ruang-ruang yang baru sehingga
membolehkan Islam di sampaikan ke corong telinga rakyat dengan lebih berkesan.
Walau bagaimanapun, keterbukaan PAS dalam membentuk kestabilan politik negara
telah disalahgunakan oleh musuh-musuh politiknya dengan melaga-lagakan pimpinan
PAS sehingga terjadi krisis politik Kelantan pada 1977. Akibatnya, PAS telah
menolak Akta Darurat (Kelantan) 1977 yang menyebabkan PAS bukan sahaja
disingkirkan dari BN, tetapi turut kehilangan Kelantan.
Setelah melalui tempoh
yang mencabar antara 1978 hingga 1982 di mana PAS terpaksa berhadapan dengan
perpecahan, kehilangan kuasa pemerintahan, tekanan ISA dan krisis kepemimpinan,
akhirnya PAS telah mengasaskan kepemimpinan ulamak pada Oktober 1982. Tuan Haji
Yusof Rawa telah diangkat untuk memimpin PAS bagi menggantikan Datuk Mohd Asri
yang meletakkan jawatan. Permulaan era kepemimpinan ulamak memperlihatkan PAS
kembali kepada asas perjuangannya untuk mendaulatkan Islam dan memberikan
penekanan terhadap kwajipan tersebut. Gerakan dakwah PAS berkembang dengan
lebih tersusun melalui pendekatan haraki dan dalam masa yang sama PAS terus
membina jambatan dakwah dengan non-Muslim sehingga terbentuk Majlis Perundingan
Cina (CCC). Di sudut yang lain, pendekatan PAS telah disambut oleh kerajaan
dengan melaksanakan juzuk tertentu daripada Islam seperti Dasar Penerapan
Nilai-nilai Islam, Dasar Bersih, Cekap dan Amanah serta penubuhan Bank Islam,
Universiti Islam Antarabangsa dan lain-lain.
Paling mencabar pada
era kepemimpinan ulamak ialah beberapa siri penyalahgunaan ISA yang berlaku
pada 1984, 1987 dan 1989, ketimbang dengan desakan PAS untuk diadakan Debat
Terbuka PAS-Umno pada 1984. Dalam kemelut ini, tercetus pula tragedi Memali
pada November 1985 yang mengorbankan 14 orang ahli PAS. Tetapi, pada 1987, Umno
pula menghadapi krisis kepemimpinan sehingga parti tersebut diharamkan. Yang
Dipertua Agung PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor memanfaatkan kesempatan ini dengan
mewujudkan kerjasama politik dengan serpihan Umno, Semangat 46 yang membolehkan
PAS berkuasa semula di Kelantan. Ketua Dewan Ulamak PAS (kemudian Mursyidul Am
PAS), Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat diberikan kepercayaan untuk
memimpin kerajaan Kelantan semenjak 1990. Dengan dasar ’Membangun Bersama
Islam’, PAS berjaya melaksanakan tanggungjawabnya untuk menegakkan hukum Allah
yang berada dalam bidang kuasana.
Pada 1996, PAS mula
berkrisis dengan Parti Melayu Semangat 46 (PMS46) yang menyebabkan Angkatan
Perpaduan Ummah (APU) yang dibentuk pada 1989 berpecah. Dua tahun kemudian, Umno
sekali lagi menghadapi perpecahan ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim
yang menyebabkan wujudnya gerakan Reformasi. PAS telah memimpin Majlis Gerakan
Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) bagi menuntut keadilan kepada rakyat, kemudian
menubuhkan Barisan Alternatif (BA) pada 1999. Melalui BA, PAS berjaya merampas
semula Terengganu. Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi
Awang diamanahkan untuk mengetuai kerajaan Terengganu sehingga 2004. Selepas
pencapaian lemah PAS pada 2004 kerana momentum Perdana Menteri baru, PAS
bangkit semula pada 2008 dengan mengetuai tiga kerajaan negeri dan turut serta
dalam kerajaan di Selangor. Kini, PAS dilihat sebagai pencabar utama Umno dalam
menguasai politik orang Melayu Islam.
Sepanjang tempoh
1951-2008 ini, PAS telah dipimpin oleh tujuh orang Yang Dipertua Agung/Presiden
iaitu Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan (1951-1953), Dr Haji Abbas Alias
(1953-1956), Profesor Dr Burhanuddin al-Helmy (1956-1969), Datuk Mohd Asri Muda
(1969-1982), Tuan Haji Yusof Rawa (1982-1988), Dato’ Fadzil Mohd Noor
(1988-2002) dan Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (2002 hingga
sekarang). Para pengkaji yang menganalisis perkembangan PAS ini mengatakan PAS
telah mengalami empat jenis kepemimpinan iaitu kepemimpinan ulamak tradisi
(1951-1956), kepemimpinan nasionalis kiri (1956-1969), kepemimpinan nasionalis
kanan (1969-1982) dan kepemimpinan ulamak haraki (1982-sekarang)3. Dalam pada itu juga, mereka mengatakan PAS telah
melalui empat tahap perkembangan iaitu tahap kemunculan (1951-1959), tahap
kebangkitan (1959-1973), tahap kemuncak (1973-1977), tahap kejatuhan
(1977-1990) dan tahap kebangkitan semula (1990-sekarang)4. Dari sudut pembinaan ideologi perjuangan PAS,
dikatakan berlaku tiga fasa iaitu fasa penubuhan dan pembentukan ideologi
(1951-1958), fasa pencernaan ideologi (1958-1982) dan fasa pengukuhan idelogi
(1982-1995)5.
------------------------------------
1 Burhanuddin al-Helmy (1957), Panduan
Jiwa Pergerakan, dlm. Suara Islam, Thn. 2, Bil. 1, Disember.
2 Burhanuddin al-Helmy (1960), Sambutan Kemerdekaan Kali Ketiga, Utusan Melayu, 31 Ogos.
3 Mohd Fadli Ghani (2003), Dewan Pemuda PAS: Suatu Kajian Terhadap Tahap-tahap Perkembangan Organisasi
Dalam Era Bertindak, 1975-2003, Tesis Sarjana Sastera, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi UKM, h. 27.
4 Wan Abdul Rahman Latif (1992), Parti-parti Politik di Malaysia: Asas Perjuangan dan Penerimaan Masyarakat,
dlm. Dunia Islam, Feb., h. 35.
5 Zambry Abd Kadir (1995), Religion and Politics: The Search for Political Legitimacy of The Pan-Islamic Party of
Malaysia, Tesis PhD, Temple University, h. 25-28.
2 Burhanuddin al-Helmy (1960), Sambutan Kemerdekaan Kali Ketiga, Utusan Melayu, 31 Ogos.
3 Mohd Fadli Ghani (2003), Dewan Pemuda PAS: Suatu Kajian Terhadap Tahap-tahap Perkembangan Organisasi
Dalam Era Bertindak, 1975-2003, Tesis Sarjana Sastera, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi UKM, h. 27.
4 Wan Abdul Rahman Latif (1992), Parti-parti Politik di Malaysia: Asas Perjuangan dan Penerimaan Masyarakat,
dlm. Dunia Islam, Feb., h. 35.
5 Zambry Abd Kadir (1995), Religion and Politics: The Search for Political Legitimacy of The Pan-Islamic Party of
Malaysia, Tesis PhD, Temple University, h. 25-28.
Sumber: Laman Rasmi PAS
0 comments:
Catat Ulasan